JULAI 2022

Pemuda Parti PBB Harap Pendaftaran Ekasih Dipermudah


KUCHING: Terdapat percanggahan data dalam sistem permohonan eKasih berikutan jumlah itu tidak menggambarkan keadaan sebenar di negeri ini.

Ketua Penerangan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Azizul Annuar Adenan yang mewakili sayap pemuda itu berkata demikian bagi mengulas laporan lebih 97,000 isi rumah di Sarawak hidup dalam kemiskinan.

Menurut Azizul, pada hakikatnya terdapat banyak kawasan luar bandar termasuk dalam kategori tersebut.

"Bagaimanapun, disebabkan kawasan itu mungkin tidak mempunyai capaian internet, isi rumah yang berada di bawah garis kemiskinan tidak boleh berdaftar ke dalam sistem," katanya.

Sebelum ini, Abdul Latiff Ahmad ketika persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini berkata, menurut pangkalan data eKasih, lebih 97,000 isi rumah di Sarawak hidup dalam kemiskinan.

Katanya, tiga daerah yang menunjukkan kadar kemiskinan tertinggi ialah Kuching, Simunjan dan Serian.

“Kuching mempunyai bilangan isi rumah yang paling ramai hidup dalam kemiskinan dengan 2,631 dianggap miskin tegar dan 4,866 miskin.

“Sementara, Simunjan mempunyai 2,417 miskin tegar dan 2,529 miskin dan Serian mempunyai 1,585 miskin tegar dan 2,583 miskin,” katanya.

Mengulas kenyataan tersebut, Azizul berkata ketiga-tiga kawasan berkenaan boleh dianggap sebagai separa bandar malah Kuching merupakan ibu kota Sarawak.

Sehubungan itu, pihaknya berharap agar pendaftaran eKasih dipermudahkan serta agensi berkaitan perlu menjalankan tugas dengan turun padang bagi mengetahui keadaan sebenar.  

"Kami mengulangi kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Martin Ben yang mengatakan bahawa data eKasih harus dikemas kini dan disahkan.

"Menerusi data yang sedia ada, Kerajaan Persekutuan perlu mengambil tindakan untuk mengurangkan kadar kemiskinan kerana ia juga adalah tanggungjawab mereka. 

"Malah, lebih banyak dana perlu diberikan kepada Sarawak bagi membantu meringankan beban isi rumah serta mengubah status rakyat," katanya.

Sumber dari : Sarawakku